Tuesday, December 24, 2013

Istidraj

Sekadar berkongsi ilmu atau pengetahuan bukan bermakna nak berlagak alim atau pun serba tau tapi lebih kepada mengingatkan diri sendiri supaya tidak terlalai jauh. Terbaca seorang rakan berkongsi tentang ini dan terfikir kadang-kadang ada terlintas di hati mempersoalkan kenapa aku diuji...

Apa itu istidraj?

Istidraj ini adalah satu kalimah, yang sering menunjuk kepada keadaan seseorang itu yang terus dilimpahkan rezeki dan kejayaan yang melimpah ruah dalam kehidupannya, walaupun dia bukan hamba ALLAH yang taat, malah seorang pembuat maksiat yang tegar. Kenapa mereka ini dinamakan manusia yang mendapat istidraj? Apakakah maksud istidraj?

Istidraj adalah, apabila ALLAH memberikan kejayaan, harta kekayaan, rezeki yang melimpah ruah untuk manusia itu menjadi lebih jauh dariNya. Biasanya, manusia yang mendapat istidraj ini adalah mereka yang tidak berusaha menjalankan ISLAM dalam kehidupan, juga tidak berusaha mengenali ALLAH SWT.

Istidraj adalah perkara luar biasa yang berlaku ke atas orang Fasik atau Kafir sebagai tipu daya buat mereka. Ia akan menambahkan lagi kejahilan dan kebodohan mereka sehinggalah balasan Allah s.w.t menimpa mereka di dalam keadaan mereka lupa.

Rasulallah s.a.w telah bersabda yang bermaksud:
"Apabila kamu melihat Allah memberikan kepada seorang hambaNya di dunia ini apa yang hamba itu suka atau berhajat, sedangkan hambaNya itu tetap dalam kemaksiatannya maka itulah ISTIDRAJ".

Allah s.w.t telah berfirman di dalam ayat 44 - 45 surah Al-An'am yang bermaksud:
"Tatkala mereka lupa akan apa yg diperingatkan kepada mereka, Kami bukakan bagi mereka beberapa pintu tiap-tiap sesuatu (nikmat dan kesenangan), sehinggalah apabila mereka telah bersuka ria dengan (kesenangan)yang mereka perdapat itu, lalu dengan se-konyong-konyong Kami siksa mereka, sehingga mereka berputus asa." -44- "Maka dihapuskanlah akhirnya kaum yang aniaya; dan pujian-pujian bagi Allah Tuhan Semesta Alam" -45-

Masih ada juga orang ragu-ragu,  kalau kita hendak dapat kebahagian di dunia dan akhirat kita mesti ikut jejak langkah Rasullulah saw dan berpegang teguh pada agama Islam.

Tetapi bagaimana dengan ada orang yang sembahyang 5 waktu sehari semalam,bangun tengah malam bertahajjud, puasa bukan di bulan Ramadhan sahaja bahkan Isnin, Khamis dan puasa sunat yang lain. Tapi, hidup mereka biasa sahaja.  Ada yang susah juga. Kenapa? Dan bagaimana pula orang yang seumur hidup tak sembahyang, puasa pun tak pernah, rumahnya tersergam indah, kereta mewah menjalar, duit banyak, dia boleh hidup kaya dan mewah. Bila kita tanya, apa kamu tak takut mati? Katanya, alah, orang lain pun mati juga,kalau masuk neraka, ramai-ramai..Tak kisahlah! Sombongnya mereka, takburnya mereka sedangkan Rasullulah s. a. w. naik ke langit bertemu Allah pun tak sombong, Nabi Sulaiman, sebesar-besar pangkatnya sehinggakan semua makhluk di muka bumi tunduk di bawah perintahnya pun tak sombong! Secantik-cantikNabi Yusof dan semerdu suara Nabi Daud, mereka tak sombong. Bila sampai masa dan ketikanya, mereka tunduk dan sujud menyembah Allah.

Manusia istidraj adalah manusia yang lupa daratan. Walaupun berbuat maksiat, dia merasa Allah menyayanginya. Mereka memandang hina kepada orang yang beramal. “Dia tu siang malam ke masjid, basikal pun tak mampu beli, sedangkan aku ke kelab malam pun dengan kereta mewah, tak payah beribadat pun, rezeki datang mencurah-curah. Kalau dia tu sikit ibadat tentu boleh kaya macam aku, katanya sombong.” Sebenarnya, kadang-kadang Allah memberikan nikmat yang banyak dengan tujuan untuk menghancurkannya.

Rasullulah s. a. w bersabda: “Apabila Allah menghendaki untuk membinasakan semut, Allah terbangkan semua itu dengan dua sayapnya” (Kitab Nasaibul’Ibad). Anai-anai jika tidak bersayap, maka dia akan duduk diam di bawah batu atau merayap di celah-celah daun, tetapi jika Allah hendak membinasakannya, Allah berikan dia sayap. Lalu, bila sudah bersayap anai-anai pun menjadi kelkatu.
Kelkatu, bila mendapat nikmat(sayap), dia akan cuba melawan api. Begitu juga manusia, bila mendapat nikmat, cuba hendak melawan Allah swt.

Buktinya, Firaun. Nikmatnya tak terkira, tidak pernah sakit, bersin pun tidak pernah kerana Allah berikannya nikmat kesihatan. Orang lain selalu sakit, tapi Firaun tidak, orang lain mati, namun dia masih belum mati-mati juga. Sampai rasa angkuh dan besar diri lantas mengaku dirinya tuhan. Tapi dengan nikmat itulah Allah binasakan dia.

Namrud, yang cuba membakar Nabi Ibrahim. Betapa besar pangkat Namrud? Dia begitu sombong dengan Allah, akhirnya menemui ajalnya hanya disebabkan seekor nyamuk masuk ke dalam lubang hidungnya.

Tidak ada manusia hari ini sekaya Qarun. Anak kunci gudang hartanya sahaja kena dibawa oleh 40 ekor unta. Akhirnya dia ditenggelamkan bersama-sama hartanya sekali akibat terlalu takbur. Jadi kalau kita kaya, jangan sangka Allah sayang, Qarun lagi kaya, akhirnya binasa juga.

Jadi, jika kita kaji dan fikir betul-betul, maka terjawablah segala keraguan yang mengganggu fikiran kita. Mengapa orang kafir kaya, dan orang yang berbuat maksiat hidup senang /mewah. Pemberian yang diberikan oleh Allah pada mereka bukanlah yang diredhaiNya.Rupa-rupanya ianya adalah bertujuan untuk menghancurkannya.

Untuk apa hidup ini tanpa keredhaanNya?

Tetapi jangan pula ada orang kaya beribadat, masuk masjid dengan kereta mewah kita katakan itu istidraj. Orang naik pangkat, istidraj. Orang-orang besar, istidraj. Jangan! Orang yang mengunakan nikmatnya untuk kebajikan untuk mengabdi kepada Allah bukan istidraj. Dan jangan pula kita tidak mahu kekayaan. Kalau hendak selamat, hidup kita mesti ada pegangan. Bukan kaya yang kita cari, juga bukan miskin yang kita cari. Tujuan hidup kita adalah mencari keredaan Allah.

Bagaimana cara untuk menentukan nikmat yang diredhai Allah? Seseorang itu dapat menyedari hakikat yang sebenarnya tentang nikmat yang diterimanya itu ialah apabila dia bersyukur nikmatnya. Dia akan mengunakan pemberian ke jalan kebaikan dan sentiasa redha dan ikhlas mengabdikan diri kepada Allah.
Maka segala limpah kurnia yang diperolehi itu adalah nikmat pemberian yang diredhai Allah.
Bila tujuan hidup kita untuk mencari keredhaan Allah, nescaya selamatlah kita di dunia dan akhirat.

Bukankah ALLAH SWT ada berfirman,


“ Apakah kamu mengira KAMI akan membiarkan kamu berkata kami beriman sedangkan kamu belum diuji?…”

No comments:

Post a Comment