Bersyukurlah dengan apa yang kita ada, jangan terlalu memandang kelebihan orang lain hingga terlupa mensyukuri apa yang Allah kurniakan untuk kita. Kadang-kadang sifat tak puas hati dengan kelebihan orang lain itu membawa petaka yang lebih besar. Oleh sebab tak puas hati dengan si polan yang kononnya sedikit bernasib baik daripada kita, kesalahan dan kesilapannya seringkali diselidik dan diperkatakan. Adat manusia, seringkali sibuk memerhatikan kain orang lain yang koyak malangnya terlupa merenung diri sendiri yang hampir telanjang.
Muhasabah diri itu penting. Renungilah diri sendiri, di mana silapnya kita. Siasat hubungan kita dengan Allah, hubungan kita dengan orang lain. Ujian Allah itu datang dalam pelbagai bentuk, balasan Allah juga begitu. Mungkin kesusahan yang kita tanggung adalah kafarah dosa kita yang terdahulu. Renunglah ke dalam diri kita. Redha Allah itu penting, keberkatan rezeki itu yang patut kita cari.
Mengapa mesti menyusahkan diri memikirkan orang lain sedangkan diri sendiri tak terbela. Lebih baik kita fikirkan apa yang boleh kita buat untuk memperbaiki hubungan kita sesama manusia dan yang paling utama di mana keredhaan Allah dalam apa jua yang kita lakukan.
Wallahualam...